Blogger Layouts

Mukadimah

Pra Sekolah JAIS merupaka sebuah sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak yang didirikan untuk pelajar yang berusia 4-6tahun. Pra sekolah ini, berada di kedudukan strategik yang mana menyingkap pelbagai kisah sejarah. Kini, pra sekolah Kg Jawa telah berkembang maju, pelbagai kemudahan dibaik pulih dan di pelbagaikan bagi keselesaan dan kesejahteraan Pelajar dan guru. Yuran yang dikenakan juga amat berpatutan dan merangkumi pelbagi aspek iaitu seperti makan dan minum, buku, dan pengajaran yang diberikan. Kini, jumlah pelajar telah pun meningkat dan Kepercayaan yang diberikan oleh Ibu Bapa sangat gemilang membuatkan kami kukuh menapak dan terus berusaha maju untuk kepentingan kanak-kanak ini.

Matlamat Pendidikan JAIS

"Memberi pendidikan asas Agama kepada semua kanak-kanak Islam di Negeri Selangor bagi melahirkan pelajar yang sepenuhnya berilmu dan berakhlak mulia kukuh dalam nilai-nilai Islam bagi mencapai muslim Mutaqqi serta mendapat keredhaan Allah"

Falsafah Pendidikan JAIS

" Satu usaha yang berterusan bagi menjamin dan memantapkan ilmu Allah dan Sunnah Rasulullah berkembang di sepanjang zaman untuk diamalkan dalam kehidupan seharian bagi melahirkan Muslim sejati yang mampu menegakkan syarat Allah di muka bumi ini"

Thursday 18 October 2012

Telaga Zam-zam


Assalamualaikum.. jum ikuti cerita sejarah ini..

Tempat di mana Hajar dan Ismail itu ditinggalkan oleh Ibrahim yang dikatakan padang pasir tandus tidak bermanusia itu, adalah kota Mekah yang sekarang ini. Mulai saat itulah mula sejarah Mekah dengan Telaga Zamzamnya. 
Hajar bulat rnenyerahkan nasibnya kepada Allah, dengan sabar dan tenang. Dimakannyalah bekalan yang masih ada padanya, diminumnya pula air yang masih tinggal. Akhirnya semua makanan dan air pun habislah. Tinggallah ibu dan anak menunggu nasib dengan perut yang kosong dan lapar, suatu penderitaan yang tak pernah dialami manusia lain. Anaknya yang masih memerlukan susu, jangankan akan mendapat susu, air mentah saja pun tidak ada di situ. Perut semakin lapar, kerongkong semakin kering dan minta dibasahi dengan air. Panas terik padang pasir tidak pula kepalang tanggungannya. Sedang badannya yang mulanya kuat sekarang sudah beransur kurus dan lemah pula. Tidak ada daya dan ikhtiar yang dapat dijalankan, selain hanya mencucurkan airmata sebanyak banyaknya, dan dengan airmata itulah hanya keadaan kering itu dapat dibasahkan sedikitnya. Ya, nasib yang tidak pernah dialami. 
Kerana lapar dan dahaga yang tak terperikan itu, mulalah si anak itu menangis sekuat kuatnya. Tetapi akhirnya kelemahan badan tidak memberikan kekuatan lagi kepadanya untuk menangis, selain hanya mengesak esak saja. Matanya mulai cukam, badannya semakin kurus juga. Akhirnya anak yang malang itu memperlihatkan tanda-tanda yang tak dapat diceritakan sama sekali, seakan akan putus nafasnya karena terlalu dahaga. 
Hajar mencuba sekuat tenaga mempertahankan jiwa sang anak dan sabar atas dirinya sendiri. Tetapi apa yang dapat dia lakukan? Akhirnya anak yang sudah payah keadaannya itu diletakkannya di atas pasir, sedang dia sendiri pergi mencari air, lalu datang melihat muka anaknya kembali. Lalu pergi pula mencari air, dan lari pula mendapatkan dan melihat wajah anaknya yang ditinggalkan itu. Demikianlah seterusnya berturut turut, antara dua tempat yang sekarang ini dinamakan Safa dan Marwah. Setiap kali dia kembali mendapatkan anaknya, dia lihat tanda tanda adanya air di tempat yang bernama Safa itu. Tetapi setelah didatanginya, tidak ada air sama sekali. Lalu dia kembali ke tempat anaknya, iaitu Marwah. Demikianlah berturut turut tujuh kali pergi dan balik. 
Sedang anak yang kelaparan yang ditinggalkan sendirian itu semakin mengeluh dan mengesak esak, menangis dengan tak bersuara lagi. Kasihan, sayang, letih, ikhtiar dengan segala tenaga. Tetapi semua sia sia belaka. 
Akhirnya Hajar duduk terhenyak, tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Dengan menoleh terus ke wajah anaknya yang dicintai; peluh mengalir bercucuran dari dahinya. Dengan titikan peluh dibasahi bibir anak yang sudah amat kering itu. Alangkah gembiranya Hajar, kerana dilihatnya anak itu masih hidup. Anak itu diciumi dan dirangkul ke dadanya rapat rapat. Nampak pula dengan jelas bahawa anak yang kecil itu sendiri pun turut sama mengeluarkan airmata. 
Hanya kepercayaan terhadap Allah, menjadikan Hajar tidak berputus sasa. Dengan kepercayaan ini sajalah dia berteman ketika itu, menghadapi kesedihan yang tidak dapat dibendung. Dengan kepercayaan ini pulalah dia yakin yang akhirnya dia akan terbebas jua dari kesedihan ini. 
Setelah ternyata yang anaknya masih hidup, kembali dia pergi meninggalkan anak itu, mencari air di tengah tengah gurun pasir. 
Akhirnya, setelah kembali mendapatkan anaknya, tak begitu jauh dari tempat itu, tiba tiba Hajar melihat setumpuk pasir yang selama ini kering tampaknya agak basah. Setelah dipegang dengan telunjuknya, betul betul pasir itu basah berair. Lalu pasir itu digalinya. Makin dalam digali makin basah dan akhirnya setelah agak dalam, airnya muncul, dengan kudrat dan iradat Allah s.w.t. terpancarlah di situ sebuah mata air yang kita namai Telaga Zamzam sekarang ini. 
Hajar dan anaknya (Ismail) minumlah sepuas puasnya sambil mengucapkan syukur dan puji terhadap Allah yang telah mengabulkan doanya dan doa Nabi Ibrahim tatkala berangkat meninggalkan mereka berdua. 
Karena air Zamzam inilah akhirnya burung burung padang pasir, seekor demi seekor mendekat ke sana menghabiskan dahaga hausnya. Dan dari jejak burung inilah makanya hamba Allah yang bernama manusia yang hidup di tengah tengah padang pasir itu, sama sama datang ke sana pulauntuk mendapatkan air penghilang dahaga. 
Akhirnya tempat itu menjadi ramai juga, dijadikan tempat tetap oleh rombongan demi rombongan manusia yang mengenalnya. Hajar dan Nabi Ismail termasuk salah satu anggota masyarakat dan hidup bersama sama mereka di tempat itu. Inilah yang nanti dinamakan kota Mekah sebagai yang kita terangkan di atas. 
Zaman berganti zaman, abad berganti abad, tempat itu terus menerus menjadi tempat berhimpunnya manusia. Pun sampai zaman sekarang, lebih lebih setelah Agama Islam memerintahkan kaum Muslimin berhaji ke sana. 
Dari cara perjalanan sejarah Hajar dan Ismail inilah diambil sebahagian besar cara ibadat haji yang diwajibkan Islam. Misalnya lari (sai) antara Safa dan Marwah tujuh kali dan lain lain ibadat yang akan kita sebutkan nanti. Dan dari keturunan Nabi Ismail pulalah, akhirnya lahir Nabi Muhammad s.a.w. di kota Mekah itu. Doa Nabi Ibrahim dikabulkan Tuhan.

 Aaminn Ya Rabbal Aalamin
 Sekian sahaja, cerita kami.. (^^)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih.. Daun Keladi,
Esok Lusa Jenguk ler Lagi....
^_^